Friday, September 19, 2008

CARA MENGURANGKAN TEKANAN




Cara mengurangkan tekanan
Assalamualaikum,
selamat meneruskan ibadah puasa yer, kali ni ct terbaca satu artikel yang sangat menarik dari internet...so ct rasa nak share dengan semua kawan2 yg melayari blog ct ni...
ini bukan hasil tulisan ct yer, tapi dari petikan yg tertera di bawah artikel ini...jom kita kongsi apa yg patut yer...

akhir-akhir ini anda menyedari bahawa anda mudah hilang sabar, malahan mula meninggikan suara kepada teman-teman sepejabat dan juga kepada orang tersayang. Perubahan ini mungkin disebabkan anda sedang menghadapi tekanan (stress). Setiap daripada kita ada ketikanya melalui atau mengalami fasa tekanan ini. Ini terjadi apabila kita diselubungi perasaan tidak tenteram dan kita merasakan tiada yang kita lakukan menjadi seperti yang dijangkakan dan berlaku sesuatu di luar dugaan. Tekanan boleh disebabkan oleh kerja, keluarga, jatuh sakit, bunyi bising atau apa sahaja sebab yang boleh menimbulkan kerunsingan. Pelajarilah cara-cara untuk mengenali tanda-tanda yang menunjukkan anda mengalami tekanan. Perhatikan petanda-petanda awal seperti: Adakah anda mudah marah, jarang ketawa dan menghadapi kesukaran untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu tugasan ataupun tanda-tanda fizikal seperti perut yang memulas seolah-olah anda berasa gugup (nervous) dan anda sendiri tidak dapat menjelaskan sebab-sebab yang menyebabkan anda sedemikian. Walau apapun tanda-tandanya, cara anda menanganinya adalah mustahak kerana inilah yang boleh membawa kepada perubahan yang terbaik untuk diri anda. Di sini diberikan beberapa cara untuk dilakukan supaya bebanan tekanan dapat dikurangkan. Lakukan banyak kegiatan fizikal kerana ini mungkin adalah cara terbaik untuk mengurangkan tekanan. Jangan duduk terlalu lama di meja kerja anda, bergeraklah dari masa ke masa. Pada waktu petang, bawalah teman atau anak-anak anda berjalan-jalan di taman dan anggaplah ia bersenam sambil mengeratkan ikatan silaturahim. Anda dapat menentang tekanan sekiranya senaman dijadikan sebahagian daripada cara hidup anda. Kurangkan berat badan anda terutamanya jika berat badan anda itu melebihi had yang ideal buat anda. Berat badan yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan. Amalkan pemakanan yang sihat mulai hari ini dan katakan tidak kepada makanan berlemak. Jangan abaikan waktu makan atau mengurangkan waktu tidur. Adalah amat mustahak untuk anda mengambil berat tentang keperluan asas tubuh anda supaya ia dapat berfungsi seperti yang sepatutnya. Cuba amalkan pengambilan vitamin untuk menggantikan zat-zat yang hilang ketika badan mengalami tekanan tetapi ini tidak bermakna anda harus mengabaikan pemakanan yang sihat dan berkhasiat. Dapatkan tidur yang cukup dan jadikan kamar tidur anda sebagai tempat untuk beristirahat dan bukannya tempat untuk bekerja. Berehatlah apabila anda mula berasa keletihan. Contohnya, berjalan-jalan selama 5 minit, melakukan senaman regangan, mendengar lagu-lagu kegemaran anda ataupun meminum air sejuk yang menyegarkan. Belajar untuk meluangkan masa untuk diri sendiri sekurang-kurangnya beberapa minit untuk setiap dua jam. Ini sedikit sebanyak dapat memberi kesan yang baik walaupun anda mungkin hanya dapat melakukan sekejap. Teknik-teknik beristirahat seperti yoga ataupun meditasi boleh diamalkan. Kita semua perlu melakukan tugasan mengikut waktu yang dijadualkan. Oleh itu, anda haruslah bijak mengatur masa. Adalah tidak mustahil ada di antara kita mempunyai jadual yang terlalu padat. Ini berlaku apabila kita tidak tahu bagaimana untuk membahagikan masa untuk melakukan tugasan itu. Anda harus tahu had kemampuan anda. Sekiranya anda memerlukan bantuan jangan keberatan untuk mendapatkannya. Anda dinasihatkan supaya jangan mengamalkan tabiat merokok, memakan ubat-ubatan, meminum minuman beralkohol atau berkafein untuk menangani masalah yang anda hadapi. Menggunakan bahan-bahan tersebut hanya akan mengurangkan tekanan anda untuk sementara waktu. Apa yang pasti, pengambilan yang berlebihan adalah memudaratkan. Ubah sikap anda. Sekiranya anda seorang yang agresif, elakkan daripada bertikam lidah. Dan sekiranya anda dikatakan sebagai seorang superwoman/man, belajarlah untuk menolak atau mengatakan tidak terhadap sesuatu apabila anda sedar ia di luar kemampuan anda. Anda hanyalah manusia dan bukannya mesin. Ketawa selalu, walaupun ada masanya itu bukanlah apa yang anda ingin lakukan. Kajian menunjukkan bahawa setiap kali kita ketawa, sejenis bahan penenang dibebaskan dalam otak kita untuk mengurangkan tekanan. Cari teman selain daripada teman sepejabat anda kerana ini memberi peluang untuk anda mengenali sesuatu yang berlainan di mana ia boleh membawa kegembiraan. Anda juga boleh berbicara dengan teman-teman anda melalui telefon, internet atau adakan sesi sembang-sembang dengan jiran-jiran anda. Kenali diri anda dan pastinya anda tahu apa yang paling mustahak yang perlu anda lakukan terlebih dahulu. Apa yang penting adalah apa, di mana dan bagaimana anda mengendalikan atau menjalankan keutamaan di dalam kehidupan anda. Sayangi diri anda supaya mudah menyayangi orang lain.

Petikan dari : http://www.saktian.com

No comments: